5000 Pengakap Asia Timur di Kuching

Jun 3rd, 2000 | By admin | Category: Jamborees

BERKAMPUNGNYA lebih 5,000 pengakap dari negara-negara Asia Timur seperti Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Korea, India, Maldives, New Zealand, Belanda dan Malaysia selama lebih seminggu di Kuching, Sarawak bagi menyertai Jambori BIMP-EAGA 2000, memberi manfaat kepada negeri Bumi Kenyalang itu mempromosikan industri pelancongan negeri.

Apa tidaknya, sepanjang berada di Sarawak bermula 28 Mei lalu hingga 4 Jun ini, pengakap-pengakap itu telah didedahkan kepada keunikan budaya dan tradisi masyarakat pelbagai etnik yang terkenal di negeri ini.

Kalau selama ini usaha mempromosikan industri pelancongan negeri dilakukan secara profesional menerusi misi-misi kerajaan negeri, kali ini peranan yang sama dimainkan oleh pertubuhan pakaian seragam seperti pengakap.

Meskipun 'duta kecil' itu terdiri daripada belia belasan tahun, namun kebolehan dan kemampuan mereka membantu Sarawak meningkatkan industri pelancongan negeri tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

Malah, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri yakin, ahli-ahli pengakap dari Sarawak itu mampu mempromosikan negeri ini kepada rakan-rakan mereka sepanjang jambori itu berlangsung.

Langkah penganjuran jambori itu di Sarawak dilihat mampu mengetengahkan kelebihan negeri ini yang kaya dengan alam semula jadi, budaya dan adat resam pelbagai suku kaum.

Sarawak mempunyai pelbagai produk yang boleh dipromosikan kepada masyarakat luar khususnya yang berkaitan dengan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN).

Konsep ini dilihat begitu sesuai dengan landasan pengakap sendiri kerana hampir kesemua aktiviti yang dijalankan sepanjang jambori ini berkisarkan kepada tiga perkara itu.

Secara kebetulan, para tetamu Sarawak itu bertuah kerana dapat mengenali perayaan Hari Gawai, perayaan tradisi masyarakat keturunan Dayak bagi menyatakan kesyukuran terhadap perolehan hasil pertanian yang dinikmati, dan turut serta memeriahkannya bersama rakan-rakan tempatan mereka pada 1 Jun lalu.

Dalam pada itu dari segi keunikan alam semula jadi Sarawak, pemilihan Kem Tetap Pengakap dan Pandu Puteri di kaki Gunong Serapi dekat Matang sebagai tapak jambori itu, dapat mengetengahkan keindahan alam semula jadi Sarawak kepada dunia luar.

Pengakap-pengakap itu pastinya akan menimba pengalaman baru sepanjang berada di Sarawak yang tentunya akan memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian adat resam negeri ini kepada rakan- rakan, ibu bapa, sanak saudara serta sabahat handai apabila pulang nanti.

Pengalaman baru itu, bukan sahaja dilalui oleh pengakap berusia belasan tahun ini, malah pemimpin-pemimpin mereka, terutama mereka yang kali pertama menjejakan kaki ke Bumi Kenyalang ini.

Bak kata Wan Junaidi, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap ini bukan sahaja terpegun dengan keunikan dan keindahan alam semula jadi Sarawak, malah mengaku tertarik dengan budaya masyarakat pelbagai etnik negeri itu.

Bagi mereka, kunjungan kali pertama ke Bumi Kenyalang ini bukanlah merupakan kunjungan terakhir malah akan kembali lagi bersama kaum keluarga untuk menjejaki lebih banyak destinasi menarik di negeri ini.

Sumber: Utusan Malaysia


bookmark 5000 Pengakap Asia Timur di Kuching
Tags: ,

Leave Comment

What is the color of the sky?