Murid Kurang Upaya Sertai Khemah Pengakap
Buat pertama kalinya seramai 283 murid kurang upaya menyertai perkhemahan pengakap di Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini selama tiga hari yang berakhir lusa.
Kesemua ahli pengakap terbabit merupakan murid-murid yang mengikuti pelajaran di sekolah pendidikan khas di seluruh negeri ini.
Mereka diawasi oleh 83 guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (SMKJPSHAS), Kuala Tahan.
Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas Jabatan Pelajaran negeri, Abdul Murat Jalil berkata, perkhemahan itu diadakan bertujuan memberi pengetahuan kepada murid berkenaan mengenai alam sekitar di Taman Negara.
”Kegiatan ini juga dapat membina disiplin, pengurusan diri, sosial dan keyakinan komunikasi sebagai persediaan bersaing dengan murid normal lain,” katanya kepada pemberita di Kuala Tahan dekat sini.
Kumpulan pengakap kurang upaya berkenaan, menurut beliau, akan terlibat dalam kegiatan ikhtiar hidup, pertolongan cemas, ikatan dan simpulan, permainan minda dan persembahan kebudayaan sepanjang perkhemahan itu.
Mereka juga katanya, dibawa menjelajah kawasan Taman Negara untuk melihat keunikan flora dan fauna serta alam semulajadi di hutan berusia 130 juta tahun itu.
Abdul Murat berkata, penubuhan Pengakap Pendidikan Khas di Pahang bertujuan mengetengahkan kebolehan dan bakat murid sejajar dengan keperluan pembinaan modal insan di kalangan anak-anak kurang upaya.
Beliau menjelaskan, menerusi kegiatan pengakap, ia mampu membuka minda dan membentuk keyakinan murid ketika bergaul dengan masyarakat.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kanak-kanak kurang upaya dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang untuk mereka belajar dengan sempurna.
”Program ini juga memberi dorongan dan keyakinan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang cacat fizikal dan mental agar mengikuti pelajaran di kelas pendidikan khas yang wujud di sekolah berdekatan tempat masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, Jabatan Pelajaran Pahang mewujudkan banyak kelas pendidikan khas yang kondusif, guru terlatih dan berpengalaman untuk mengajar anak-anak kurang upaya.
Source: Utusan
Popularity: 1% [?]
Category: Local

