Perkhemahan Kepengakapan Dalam Komuniti
Seramai 22 Pengakap Kanak-kanak (PKK) tahun empat hingga enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi menyertai perkhemahan Kepengakapan Dalam Komuniti di sini selama dua hari yang berakhir esok.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan termasuk pertandingan memasak, kembara malam, kawad kaki, persembahan kebudayaan dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah serta masjid bersama penduduk kampung.
Guru Besar SK Kampung Pagi, Ideris Zainol berkata, perkhemahan selama dua hari itu merupakan usaha sekolah untuk memberikan pengetahuan dan pengalaman baru melalui kegiatan pengakap selain menguji ketahanan diri murid berkenaan.
”Menerusi perkhemahan itu setiap murid dapat mengetahui bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam kelas sebaliknya boleh diperoleh di luar bilik darjah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui hari ini.
Menurut beliau, perkhemahan itu bertujuan mendedahkan murid-murid terbabit mengenai Skim Latihan Pengakap Kanak-kanak Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) seperti latihan simpulan dan ikatan, teknik memasang khemah, pertolongan cemas, istiadat pengakap dan memasak untuk ikhtiar hidup.
Katanya, kegiatan berkenaan juga dapat mengeratkan hubungan antara rakan sebaya, menyemai disiplin dan kerjasama menerusi pertandingan kawad kaki, pengembaraan, memasak serta persembahan kebudayaan.
”Di samping itu, guru pengakap akan mengaplikasikan segala ilmu pengakap yang dipelajari semasa latihan kokurikulum pada sebelah petang di sekolah untuk dilaksanakan oleh murid semasa perkhemahan itu,” katanya.
Ideris memberitahu, program perkhemahan dan gotong-royong yang dilaksanakan itu bertujuan memupuk semangat permuafakatan dalam diri pelajar, guru dan ibu bapa.
Guru PKK, Zulhafiz Nasaruddin berkata, perkhemahan akhir tahun itu memberi peluang kepada PKK untuk mendapatkan anugerah Lencana Keris Gangsa dan Lencana Keris Perak di kalangan murid tahun empat dan lima.
”Murid berkenaan berpeluang menunjukkan bakat dan menyelesaikan segala ujian yang dikemukakan sekali gus berjaya meraih anugerah lencana berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, perkhemahan itu juga merangsang murid supaya terus aktif dalam kegiatan pengakap dan sukarelawan bermula di peringkat sekolah rendah hingga selepas tamat persekolahan.
Source: Utusan
Popularity: 3% [?]
Category: Events

